Nabi Muhamad SAW Contoh Utama Sufi
Tidak syak lagi Nabi Muhamad merupakan contoh unggul dalam membicarakan pemikiran sufi dan alamnya. Hidup Rasulullah yang penuh dengan penderitaan, pengorbanan demi menyampaikan risalah Islam ini menggambarkan ciri-ciri kesufian dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Hampir semua kitab yang menulis tentang baginda menceritakan bagaimana keadaan rumahtangganya. Bukan sahaja tidak terdapat perabot-perabot yang mewah dan makanan yang enak malah alas tidurnya hanya berbekalkan tikar yang apabila tidur di atasnya, bekasnya terlekat di pipinya. Bukan sahaja sajian roti kering yang dibuat dari tepung kasar dengan segelas air minum, sebutir atau dua butir kurma yang sememangnya telah diketahui umum.
Hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari menceritakan bahawa Saiditina Aisyah pada satu ketika mengadu kepada Urwah dengan katanya: “Lihatlah Urwah, kadang-kadang berhari-hari dapurku tidak bernyala..”
Ibnu Masud menerangkan bahawa beliau pernah masuk ke rumah Rasulullah dan didapatinya Nabi sedang berbaring di atas sepotong anyaman daun kurma yang membekas kepada pipinya. Dengan sedih Ibn Masud bertanya: “Ya Rasulullah apakah tidak baik aku mencari sebuah bantal untukmu?”. “Nabi menjawab: “Tidak ada hajatku untuk itu. Aku dan dunia adalah laksana seorang yang sedang bermusafir, berteduh sebentar di kala hari sangat terik di bawah naungan sepohon kayu yang rendang, kemudian berangkat dari situ ke arah tujuan lain yang kekal”.
Dalam sebuah riwayat lain bahawa pada suatu hari Nabi teringat dalam sembahyangnya, bahawa di rumahnya masih tersimpan satu pundi-pundi emas yang belum disampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Lalu diringkaskan sembahyangnya dan dengan tergesa-gesa baginda pergi membahagi-bahagi sedekah itu kerana baginda tidak ingin sepotong emas pun tinggal di rumahnya.
Terdapat juga dalam cerita bahawa pada suatu hari pernah diletakkan orang di depannya sekaligus tujuh puluh ribu dirham emas. Semua wang itu emas itu seketika itu juga dibahagi-bahagikan dan sebutir pun tidak ada yang tertinggal. Abdul Rahman bin ‘Auf menceritakan ketika Nabi Suci SAW wafat tidak ada yang tinggal padanya kecuali sepotong roti, sebilah pedang, seekor kaldai tunggangan dan sebidang tanah untuk anaknya Fatimah Az-zahra’.
Demikianlah keadaan pemimpin agung dunia ini yang menjadi contoh berzaman untuk membuka mata sahabat dan pengikutnya melihat, apa tujuan sebenar manusia itu hidup. Untuk membuka hati keluarga dan umatnya lebih luas daripada perutnya, daripada mulutnya, daripada mata, hidung dan telinganya, sehingga tubuh yang kasar itu dapat menerima percikan cahaya Ilahi yang lebih tinggi tentang wujud, sehingga dengan demikian dapatlah manusia merasai tujuan hidup yang sementara ini untuk menuju akhirat yang kekal abadi.
Rumahtangganya menjadi contoh, pakaiannya menjadi ikutan, makanannya menjadi teladan dan sabar serta toleransinya pun menjadi panduan.









Post a Comment Blogger Facebook